Tuesday, 22 November 2011

Jumpa di Myanmar 2013

Bendera Sukan SEA dikibarkan oleh Menteri Sukan Myanmar, Tin Sann menandakan negara itu bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2013 pada penutup Temasya XXVI di Stadium Jakabaring, Palembang, semalam.

PALEMBANG - Sukan SEA XXVI Indonesia yang akan sentiasa dikenang sebagai temasya paling menguji kesabaran dan mental kontinjen Malaysia, menutup tirainya secara rasmi di sini, semalam.

Seperti upacara pembukaan, majlis penutup di Stadium Sriwijaya, Kompleks Sukan Jakabaring juga bermandi cahaya dan disaji dengan pelbagai pertunjukan kebudayaan serta hiburan, cuma suasana kali ini tidak seceria ketika ia dibuka pada 11 November lalu, gara-gara kekalahan skuad bola sepak Indonesia kepada Malaysia kelmarin.

Tuan rumah hampir menutup temasya dengan gemilang selepas melakar rekod kutipan pingat tertinggi dalam sejarah, 182 emas, 151 perak dan 143 gangsa, namun 'mood' seluruh kontinjen tercalar kerana gagal meraih emas bola sepak, selain menerima berita kematian dua penyokong mereka dalam tragedi rempuhan penonton di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir menentang Malaysia.



Indonesia muncul juara keseluruhan buat kali ke-10, meninggalkan juara 2009, Thailand dengan 109 emas, 100 perak dan 120 gangsa, diikuti Vietnam 96-92-100. Malaysia mengumpul 59 emas, 50 perak dan 81 gangsa daripada 38 jenis sukan yang disertai untuk menghuni tangga keempat.

Singapura pula berada di tangga kelima dengan 42-45-73, Filipina 36-56-77, tuan rumah 2013, Myanmar dengan 16-27-37, Laos 9-12-36, Kemboja 4-11-24), Timor Leste 1-1-6 dan Brunei 0-4-7.

Penyertaan Malaysia pada Sukan SEA XXVI keseluruhannya ditutup dengan baik, namun seandainya sasaran awal 40 hingga 45 emas yang diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak ditukar secara drastik kepada 60 emas ketika temasya sedang berlangsung, ia mungkin akan lebih sempurna.

Apa pun, edisi ke-26 temasya sarat dengan pelbagai kisah suka, duka dan mencemaskan untuk dikongsi kontinjen Malaysia.

Suasana di luar gelanggang pertandingan lebih meninggalkan kesan, iaitu melihat bagaimana Lagu Negaraku dihina, Jalur Gemilang dipersenda dan maruah kita dipijak apabila atlet dicaci dengan perkataan 'maling' yang membawa maksud pencuri berulang kali.

Justeru, sesiapa pun yang berjaya membawa pulang pingat emas dari Jakarta atau Palembang adalah wira, malah mereka yang tidak pulang bersama emas juga sebenarnya wira kerana memiliki keberanian untuk berdepan ribuan penyokong fanatik tuan rumah.

Seperti temasya-temasya sebelumnya, akuatik menjadi lubuk emas Malaysia dengan menyumbang 19 emas, tujuh terjun, lima renang dan lima lagi renang berirama. Mereka masih mampu mengekalkan reputasi sekali pun tanpa pemenang lima pingat emas di Laos, Daniel Bego yang cedera.

Olahraga yang dibayangi kontroversi kuartet 4x400 meter lelaki, meraih enam emas, diikuti boling (5), ski air (4), karate (4), wusyu (3), silat (3), memanah (2), menembak (2), lawan pedang (2), renang laut terbuka (2), billiard & snuker (1) dan bola sepak (1).

Atlet renang berirama, Katrina Ann Abdul Hadi dan Png Hui Chuen masing-masing menjadi penyumbang emas terbesar individu dengan lima emas, manakala Adrian Ang dengan empat emas dalam boling menjadi atlet lelaki terbaik.

Sementara itu dalam upacara penutup yang serba meriah, selain dihiburkan dengan pertunjukan kebudayaan dan persembahan artis terkenal Indonesia seperti Agnes Monica, Nidji, Afgan serta drama muzikal, Laskar Pelangi, tuan rumah 2013, Myanmar juga diberi slot memperkenalkan kebudayaan mereka.

Diari di Jakarta dan Palembang kini ditutup dan Myanmar sedia mengambil alih tugas tuan rumah buat kali pertama. - Utusan

0 komen:

Post a Comment